Ziarah Kasih Ramadan Perkukuh Ukhuwah Komuniti Di Beting Maro
PUSA: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor turun padang menyantuni masyarakat menerusi Program Lawatan Ziarah Kasih Ramadan 2026 sempena Ihya Ramadan di beberapa kampung sekitar Pusa pada Selasa.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN Beting Maro itu melibatkan lawatan ke Kampung Tambak, Kampung Dato Godam serta Kampung Tengah dan Hulu Pusa.
Dalam lawatan tersebut, beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 22 keluarga yang memerlukan, khususnya dalam kalangan warga emas, pesakit kronik dan individu terlantar sempena bulan Ramadan.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan makanan, malah menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan silaturahim, mempererat ukhuwah serta memelihara perpaduan dalam komuniti setempat.
“Program ini amat sesuai dilaksanakan pada bulan Ramadan. Saya akan teruskan usaha ini sepanjang Ramadan bagi mengeratkan hubungan dan meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Program Ihya Ramadan akan diteruskan ke kampung-kampung lain di DUN Beting Maro bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat daripada inisiatif kebajikan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan penting ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam mengenal pasti permasalahan komuniti supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan tepat kepada golongan sasaran.-EDISI UKAS