Pembinaan Jalan Batu Luking-Teluk Kini Dalam Perancangan
KANOWIT: Penduduk di kawasan Batu Luking-Teluk dan Rantau Dilang bakal menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik apabila projek pembinaan jalan raya di kawasan tersebut kini telah dirancang secara rasmi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana mendedahkan bahawa projek infrastruktur tersebut akan dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA).
"Mengenai isu jalan yang dibangkitkan, saya ingin menjelaskan bahawa Jalan Batu Luking-Teluk, Rantau Dilang sememangnya telah dirancang pembinaannya menerusi bajet daripada MiRRDA," katanya.
Beliau menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab isu jalan raya yang dibangkitkan oleh Kapitan Liu Kim Fah semasa kunjungan sempena sambutan Cap Goh Mei di kediaman pemimpin masyarakat berkenaan pada petang Selasa.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyeru agar komuniti Cina di bawah seliaan Kapitan Liu terus mengekalkan kerjasama erat dengan pihak kerajaan.-EDISI UKAS