Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa Pengelola Majlis Nuzul Al-Quran
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Pengelola Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak di kediaman rasmi beliau, di sini pada Rabu.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Difahamkan, tujuan kunjungan hormat itu adalah untuk menjemput Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ke Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak yang akan berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman pada 6 Mac ini.
Turut hadir dan menyampaikan amanat dalam majlis itu nanti ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Selain itu, terdapat beberapa pengisian yang disusun atur bersempena sambutan tersebut termasuk Ziarah Ramadan, Seminar Al-Quran Forum Perdana Saudara Kita, bacaan Al-Quran oleh Johan Tilawah Peringkat Sarawak 2026, Jubni Sulong dan tazkirah Nuzul Al-Quran oleh Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah, Dr Sarip Adul.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Ustaz Abang Borhanuddin Ahmad Masunie, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS