Wakil Rakyat & Penjawat Awam Di Mukah Perkukuh Sinergi Dalam Majlis Berbuka Puasa
MUKAH: Semangat kebersamaan antara wakil rakyat dan pentadbiran awam terus diperkukuh menerusi Majlis Berbuka Puasa Pejabat Residen Bahagian Mukah yang berlangsung di Dewan Majlis, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah di sini pada Selasa.
Majlis yang menghimpunkan barisan pemimpin dan penjawat awam itu bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah menjadi platform strategik mempererat hubungan kerja serta menyelaras agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat di Parlimen Mukah yang merangkumi DUN Tellian dan Balingian.
Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh berkata, kerjasama erat antara wakil rakyat dan jentera pentadbiran merupakan elemen penting dalam memastikan setiap dasar serta perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi impak kepada masyarakat.
Menurut beliau, kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian, Royston Valentine mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam menyokong usaha pentadbiran di peringkat bahagian.
“Walaupun jadual kedua-dua wakil rakyat ini padat, mereka tetap meluangkan masa memeriahkan majlis. Kehadiran ini amat bermakna dan memperlihatkan kesepaduan yang kukuh antara kepimpinan politik dan pentadbiran,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan kerja yang kukuh akan memudahkan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, berintegriti dan responsif terhadap keperluan masyarakat setempat.
Majlis berbuka puasa tersebut turut menjadi wadah memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan ketua jabatan, penjawat awam serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Bahagian Mukah, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif dan berterusan di Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Datu Kueh turut memaklumkan bahawa Pejabat Residen Bahagian Mukah kini secara rasmi beroperasi di bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah), sekali gus menandakan fasa baharu dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di wilayah berkenaan.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili bersama barisan ketua jabatan serta pegawai kanan kerajaan.-EDISI UKAS