Kekalkan Toleransi, Kekal Bersatu Bina Masa Depan Sarawak
SARIKEI: Masyarakat di Sarawak perlu terus mengamalkan sikap toleransi, berfikiran positif serta berganding bahu dalam mendepani perubahan dan cabaran semasa demi membina masa depan negeri yang lebih baik.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, Malaysia sebagai negara majmuk yang menghormati kebebasan beragama sentiasa menitikberatkan perpaduan dan keharmonian antara kaum sebagai asas kepada kestabilan serta kemakmuran negara.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kekal komited memastikan kestabilan politik dan pembangunan berterusan demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei di sini baru-baru ini.
Tambahnya, pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan termasuk menaik taraf infrastruktur asas, menambah baik kemudahan sekolah serta menyokong pembangunan institusi keagamaan.
Menyentuh perkembangan lain, beliau menjelaskan bahawa cadangan projek pelebaran Jalan Nyelong yang terletak berhadapan bangunan persatuan tersebut sebelum ini telah dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri Sarawak dan kini telah memulakan kerja pembinaan secara rasmi bagi dinaik taraf kepada jalan empat lorong.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut memaklumkan bahawa pembinaan pagoda tujuh tingkat oleh persatuan berkenaan menunjukkan kemajuan yang baik dan dijangka menjadi mercu tanda baharu serta tarikan pengunjung ke Sarikei pada masa akan datang.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan serta pembangunan kemudahan persatuan.-EDISI UKAS