Program Ramah Mesra & Berambeh Sungkey Eratkan Ukhuwah Penduduk
ASAJAYA: Keberkatan bulan Ramadan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat menerusi penganjuran Program Ramah Mesra dan Berambeh Sungkey di Masjid Darul As Solihin, Kampung Sambir pada Khamis.
Program tersebut dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Kehadiran beliau memberi peluang kepada penduduk setempat untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan wakil rakyat mereka dalam suasana santai dan penuh kemesraan.
Program berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat, malah turut menjadi platform memperkukuh perpaduan komuniti serta semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat sepanjang bulan Ramadan.
Turut hadir Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Daerah Gedong, Jamain Wahab serta Penghulu Kampung Sambir, Lapok Japar. -EDISI UKAS