Projek RTP Naik Taraf Jalan Rh Ato Bukit Dinding Siap
MUKAH: Penduduk di kawasan Rh Ato, Bukit Dinding di Jalan Selangau–Mukah kini menikmati kemudahan jalan yang lebih selamat dan selesa selepas projek naik taraf jalan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 siap dilaksanakan.
Projek yang memberi manfaat kepada komuniti setempat itu telah diserahkan secara rasmi oleh Ahli Majlis Daerah, Binit Madang yang mewakili Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta dalam satu majlis ringkas di Rumah Ato Masam, Bukit Dinding, pada Khamis.
Turut hadir wakil agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja naik taraf tersebut.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam mempertingkatkan kemudahan asas serta memperkukuh jaringan infrastruktur, khususnya di kawasan luar bandar.
Dengan siapnya projek tersebut, penduduk setempat kini dapat menikmati laluan yang lebih selamat dan selesa sekali gus menyokong kelancaran aktiviti harian serta pembangunan sosial dan ekonomi komuniti setempat. –EDISI UKAS