SIBU: Sebanyak 200 pek bubur lambuk diagihkan kepada penduduk Kampung Usaha Jaya Baru di Sentosa pada Khamis melalui program komuniti yang dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Bukit Assek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek berkata, program tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan selaras dengan inisiatif ibu pejabat parti, di mana kesemua 82 cawangan SABERKAS di negeri ini turut mengadakan pengagihan bubur lambuk.
“Program seperti pengagihan bubur lambuk dapat memupuk sikap saling menghormati antara masyarakat di samping memberi peluang kepada golongan muda untuk memahami kepelbagaian budaya dan agama,” katanya ketika ditemui semasa program pengagihan tersebut.
Chieng juga menekankan, walaupun majoriti ahli Cawangan Bukit Assek terdiri daripada masyarakat Cina, program itu turut melibatkan ahli daripada kaum Iban dan Melayu yang berganding bahu menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk setempat.
“Penglibatan komuniti amat penting. Walaupun kita datang daripada latar belakang dan agama yang berbeza, kita semua adalah rakyat Sarawak,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, semangat perpaduan masyarakat majmuk Sarawak terserlah apabila pelbagai kaum bersama-sama menyertai aktiviti komuniti dan meraikan perayaan tanpa mengira latar belakang.-EDISI UKAS