Program Rakan UKAS Semarakkan Ramadan, Perkukuh Perpaduan Komuniti Beladin
BELADIN: Program Rakan UKAS Pengagihan Bubur Pedas di Kampung Beladin, Pusa bukan sahaja menghidupkan tradisi Ramadan masyarakat setempat, malah menjadi medium memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Pusa, Pusat Khidmat Beting Maro dan Masjid Al-Amin Beladin itu menyaksikan sebanyak 550 kontena bubur pedas diagihkan kepada penduduk di Kampung Tengah Beladin, Pusa pada petang Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata penganjuran program seumpama ini menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk perpaduan antara pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, aktiviti pengagihan bubur pedas bukan sahaja menghidupkan tradisi masyarakat setempat menjelang Ramadan, malah turut menyatukan komuniti melalui semangat kerjasama, kebersamaan dan budaya berkongsi rezeki.
“Tradisi pengagihan bubur pedas ini bukan sekadar menyediakan juadah berbuka puasa, tetapi juga melambangkan semangat kebersamaan masyarakat yang saling membantu serta mengeratkan hubungan sesama komuniti,” katanya semasa program itu.
Beliau turut menyeru masyarakat di kawasan tersebut agar terus mengekalkan semangat perpaduan, tidak berpecah-belah serta sentiasa mengamalkan nilai kebajikan dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Dalam pada itu, program berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan UKAS dalam memperkukuh hubungan antara Kerajaan Sarawak dan komuniti setempat di peringkat akar umbi.
Penduduk kampung turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada UKAS, wakil rakyat serta pemimpin tempatan yang meluangkan masa turun padang bersama masyarakat bagi menjayakan program pengagihan bubur pedas tersebut.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Pusa Hamdan Katang, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah, Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji, Penghulu Zon Beladin Zakaria Mos, Ketua Kampung Hilir Beladin Awang Subhi Awang Halil, Ketua Kampung Hulu Beladin Mostapa Sili serta Ketua Pemuda PBB Beting Maro Awang Nashfarini Awang Sarbini.-EDISI UKAS