10 Masjid & Surau Terima Sumbangan Daripada ADUN Bukit Semuja
SERIAN: Sebanyak 10 masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus dalam satu majlis berbuka puasa bersama masyarakat di Surau Darul Taqwa, Kampung Hulu Serian pada Khamis.
Sumbangan tersebut melibatkan lima masjid dan lima surau di kawasan berkenaan sebagai usaha menyokong aktiviti keagamaan serta membantu pengurusan rumah ibadat berkenaan sepanjang bulan Ramadan.
Menurut John Ilus, sumbangan yang disalurkan diharap dapat membantu pihak pengurusan masjid dan surau dalam menganjurkan pelbagai program keagamaan serta memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa dalam keadaan baik demi keselesaan para jemaah.
“Walaupun sumbangan ini dilihat kecil, namun saya berharap ia dapat membantu pihak pengurusan masjid dan surau dalam mengimarahkan lagi aktiviti ibadah sepanjang Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ringkas semasa majlis berkenaan yang turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Turut hadir wakil Residen Bahagian Serian, Mohd Nazreen Mayaddin, wakil Pegawai Daerah Serian, Dayang Nurhazira Abang Morsidi, Pegawai Agama Islam Bahagian Serian, Ustaz Madihi Jamali serta Ketua Kampung Hulu Serian, Morshidi Loncheng.-EDISI UKAS