88 Asnaf Terima Bantuan RM22,050 Dalam Majlis Iftar Perdana TBS Sri Aman
SRI AMAN: Seramai 88 golongan asnaf menerima bantuan kewangan berjumlah RM22,050 dalam Majlis Iftar Perdana sempena Program Kasih Ramadan anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Sri Aman di Kompleks Islam Sarawak Sri Aman pada Khamis.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform berbuka puasa bersama, malah bertujuan menyantuni serta meringankan beban golongan memerlukan menjelang Ramadan.
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, berkata bantuan yang disampaikan merupakan sebahagian daripada agihan keseluruhan berjumlah RM164,534 yang akan disalurkan kepada 631 penerima di Bahagian Sri Aman.
Menurut beliau, penerima bantuan terdiri daripada ketua keluarga serta tanggungan di bawah Bantuan Sarahidup TBS selain anak-anak dari Rumah Kanak-Kanak Ajibah Abol.
Dalam pada itu, bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat fitrah sepanjang Ramadan, TBS Bahagian Sri Aman turut melantik 21 amil zakat fitrah bertauliah yang ditempatkan di masjid, surau serta beberapa lokasi strategik di sekitar kawasan tersebut.
Sehingga 31 Januari 2026, TBS telah menyalurkan bantuan berjumlah RM9.93 juta kepada golongan asnaf di seluruh Sarawak melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah serta Program Peningkatan Kemahiran Ummah.-EDISI UKAS