70 Asnaf Kampung Stakan Melayu Terima Sumbangan Daripada ADUN Stakan
KOTA SAMARAHAN: Seramai 70 penerima asnaf dari Kampung Stakan Melayu menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim dalam Program Ziarah Ramadan DUN Stakan di Masjid Darul Taqwa Kampung Stakan Melayu pada Khamis.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan beliau bagi membantu golongan memerlukan khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Menurut Datuk Hamzah, bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban penerima selain menceriakan persiapan mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Katanya lagi, program seumpama itu turut menjadi platform mendekati masyarakat setempat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
“Program Ziarah Ramadan ini akan terus dilaksanakan setiap tahun sebagai usaha membantu golongan memerlukan di kawasan DUN Stakan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Dalam majlis sama, Datuk Hamzah turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Taqwa Kampung Stakan Melayu bagi menyokong aktiviti serta keperluan pengurusan masjid.
Pada masa sama, beliau memaklumkan usaha sedang dijalankan bagi mendapatkan tapak tanah baharu untuk membolehkan pembinaan masjid yang lebih besar dan selesa bagi menampung keperluan masyarakat setempat termasuk penduduk di kawasan perumahan berhampiran.-EDISI UKAS