GEDONG: Seramai 44 penerima dari Zon Pangkor, Daerah Gedong menerima sumbangan bakul makanan dan bantuan tunai menerusi Program Jalinan Kasih Ramadan 2026 yang diadakan di Masjid Hayatul Islam, Kampung Lubok Punggor pada Khamis.
Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong itu dihadiri Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Penerima sumbangan terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, warga emas, ibu tunggal, asnaf serta mualaf bagi membantu meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup, terutama menjelang sambutan Aidilfitri.
Dalam ucapannya, Rodiyah berkata program seumpama itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah menjadi platform berkongsi rezeki serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Beliau berharap sumbangan yang disampaikan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penerima selain menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung.
“Dana ini diharapkan dapat digunakan sebaiknya untuk aktiviti kemasyarakatan seperti mesyuarat, gotong-royong, program keagamaan serta aktiviti yang mampu mengeratkan perpaduan masyarakat, khususnya sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal nanti,” katanya.
Dalam program sama, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk setempat serta meninjau gerai peniaga kecil di perkarangan masjid sebagai tanda sokongan terhadap usaha mereka menjana pendapatan sepanjang Ramadan.
Rodiyah turut mengagihkan apron kepada peniaga kecil, tukang masak serta wanita yang membantu menyediakan juadah berbuka puasa di masjid selain menyertai pengagihan bubur lambuk kepada jemaah dan penduduk setempat.-EDISI UKAS