31 Asnaf Zon Sampadi Terima Sumbangan Di Kampung Stoh
LUNDU: Seramai 31 penerima asnaf dari Zon Sampadi menerima sumbangan bakul makanan dan bantuan tunai dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf di Kampung Stoh pada Khamis.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membantu golongan yang memerlukan di kawasan berkenaan.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Lundu, Anwar Fakhriyuddin Matamit.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN Tanjong Datu itu bertujuan meringankan beban golongan asnaf khususnya dalam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.
Sumbangan yang disampaikan diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada para penerima selain mencerminkan semangat keprihatinan serta kebersamaan dalam kalangan masyarakat di kawasan tersebut.
Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat di samping memastikan kebajikan golongan memerlukan terus diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.-EDISI UKAS