Ideathon Dedah Belia GIATMARA Kapit kepada Keusahawanan Digital
KAPIT: Program Ideathon: Youth-Led Digital Entrepreneurship telah memberi pendedahan intensif kepada belia GIATMARA Kapit dalam bidang keusahawanan digital apabila seramai 28 pelajar bersama tiga guru pembimbing menyertai program yang berlangsung di Kapit Digital Innovation Hub.
Program diadakan dari 4 hingga 5 Mac itu bertujuan membimbing golongan belia membangunkan idea digital yang berpotensi menjadi penyelesaian kepada keperluan komuniti setempat khususnya di Kapit, serta membuka peluang kepada pembangunan perniagaan berasaskan teknologi pada masa hadapan.
Sepanjang program, peserta berpeluang mengembangkan idea inovatif, membina model perniagaan yang berdaya maju serta bekerjasama dalam kumpulan bagi menghasilkan cadangan projek digital yang kreatif dan praktikal.
Inisiatif seperti ini dilihat mampu memupuk semangat keusahawanan digital dalam kalangan belia serta menggalakkan penciptaan peluang ekonomi baharu di Kapit, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap peluang pekerjaan di bandar-bandar besar.
Penganjuran program seumpama ini juga selari dengan usaha memperkasa pembangunan modal insan serta meningkatkan keupayaan belia dalam menghadapi cabaran ekonomi digital masa kini.
Program tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan ekosistem digital di Kapit, sekali gus membuka ruang kepada golongan belia untuk meneroka potensi inovasi dan teknologi sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.-EDISI UKAS