UKAS Perkukuh Penyampaian Maklumat Kerajaan kepada Rakyat
BELADIN: Peranan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sebagai medium penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat terus diperkukuh dalam usaha memastikan masyarakat sentiasa mengetahui pelbagai inisiatif serta program pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Shafizan Kepli berkata, kewujudan UKAS amat penting kerana agensi tersebut berfungsi sebagai platform komunikasi yang berkesan dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti Kerajaan Sarawak kepada rakyat, khususnya di peringkat akar umbi.
"Kehadiran UKAS amat diperlukan kerana selain menghebahkan aktiviti Kerajaan Sarawak, pihak terbabit turut menghebahkan pergerakan atau kerja-kerja yang dilakukan oleh wakil rakyat kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Rakan UKAS : Berambeh Sungkey 2026 di Masjid Al-Amin Beladin di sini, pada Khamis.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor.
Program berkenaan turut diisi dengan penyampaian 40 bakul makanan sumbangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Beladin serta sumbangan daripada Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib kepada 50 asnaf.
Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada pegawai masjid di Beladin oleh Dato Razaili.
Hadir sama ialah Datin Dr Aishah Rohani Nahar, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah, Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang dan para pegawai UKAS Bahagian.-EDISI UKAS