Semangat Berpasukan Ahli Kelab dan Persatuan Kebudayaan Harumkan Nama Mukah
MUKAH: Ahli Kelab Tarian Naga dan Singa Medan Setia Raja Mukah serta Persatuan Wushu Bahagian Mukah terus mengharumkan nama Mukah di peringkat negeri dan kebangsaan melalui dedikasi, disiplin dan semangat kerjasama yang tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, sepanjang penubuhan kelab dan persatuan tersebut, ahlinya telah menunjukkan komitmen tinggi, disiplin serta kerjasama yang kukuh dalam setiap aktiviti yang disertai.
Menurutnya, melalui persembahan tarian naga, tarian singa dan wushu, mereka bukan sahaja menampilkan bakat dan kemahiran yang tinggi, malah berjaya mewakili Bahagian Mukah dalam pelbagai pertandingan serta persembahan di peringkat lebih luas.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan persatuan yang diwakili, malah turut mengharumkan nama Mukah dan komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Kelab Tarian Naga dan Singa Medan Setia Raja Mukah, Persatuan Wushu Bahagian Mukah serta Kelab Wushu Dalat di Hotel Kingwood, pada Khamis.
Royston menambah, kejayaan yang dicapai itu turut menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk terus aktif dalam aktiviti kebudayaan dan sukan tradisional.
Ujarnya lagi, keistimewaan organisasi tersebut bukan hanya terletak pada pencapaian yang diraih, tetapi juga pada semangat perpaduan yang wujud dalam kalangan ahlinya.
Menurut beliau, ahli-ahli persatuan terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik di Sarawak yang bersama-sama berganding bahu sebagai satu pasukan dalam mencapai kecemerlangan.
“Walaupun berbeza budaya dan tradisi, mereka tetap saling menyokong serta bekerjasama, sekali gus mencerminkan kekuatan sebenar masyarakat Sarawak yang berteraskan kepelbagaian, keharmonian dan sikap saling menghormati,” ujarnya.
Dalam majlis itu, Royston telah menyampaikan geran berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Wushu Bahagian Mukah.
Hadir sama ialah Pengerusi Kelab Tarian Naga dan Tarian Singa Medan Setia Raja Mukah Ho Ing Siong, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah Bonnie Manau Michael Amerikan serta Penghulu Henry Lee.-EDISI UKAS