Dr Juanda Santuni Warga Sekolah Dengan Sumbangan Duit Raya
MATU: Dalam suasana penuh kegembiraan dan semangat Ramadan, program “Jom Singgah Ramadhan” membawa keceriaan kepada warga sekolah di kawasan DUN Jemoreng menerusi sumbangan duit raya.
Program diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng, Dato' Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, untuk menyantuni masyarakat dengan menyampaikan sumbangan duit raya kepada kira-kira 3612 penerima yang terdiri daripada pelajar, para guru serta kakitangan sekolah.
Program yang berlangsung selama dua hari iaitu pada Khamis dan Jumaat melibatkan keseluruhan 14 buah sekolah terdiri dari 12 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di sekitar kawasan Jemoreng.
“Terima kasih YB”, itulah ucapan yang tidak lekang di bibir para penerima dalam kalangan pelajar yang teruja dengan wajah gembira setiap kali menerima duit raya yang disampaikan sendiri oleh Dr Juanda.
Lebih istimewa, Dr Juanda sendiri bergerak dari sekolah ke sekolah bagi menyampaikan duit raya kepada setiap penerima, yang pastinya amat dihargai lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tiba tidak lama lagi.
Program ini merupakan inisiatif tahunan Dr Juanda sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan beliau terhadap warga pendidikan serta masyarakat setempat.
Lebih daripada sekadar sumbangan duit raya, program ini turut menyuntik semangat keharmonian serta mengeratkan silaturrahim antara pemimpin dan masyarakat serta menghadiahkan kegembiraan kepada para penerima yang sedang membuat persiapan menyambut Syawal.
Program “Jom Singgah Ramadhan” ini jelas membuktikan bahawa sentuhan kasih dan keprihatinan seorang pemimpin mampu menghadirkan kegembiraan yang bermakna kepada masyarakat, khususnya kepada generasi muda yang bakal mewarisi masa depan.
Turut hadir memeriahkan program ialah ADO Zaraina Sahari dari Pejabat Daerah Matu. - EDISI UKAS