RM46,000 Geran MRP Disalurkan Kepada Masjid & Surau di DUN Tellian
MUKAH: Sebanyak RM46,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diagihkan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti pengimarahan sepanjang bulan Ramadan di masjid dan surau sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menerusi program Ziarah Ramadan yang diadakan pada Jumaat, melibatkan beberapa rumah ibadat di kawasan berkenaan.
Royston berharap, bantuan tersebut dapat membantu pihak pengurusan masjid dan surau melaksanakan pelbagai program keagamaan sepanjang Ramadan, sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Antara yang menerima sumbangan ialah Masjid Nurul Huda Kampung Judan dan Masjid Darul Falah Kampung Penat yang masing-masing menerima geran sebanyak RM5,000.
Selain itu, beberapa surau turut menerima sumbangan RM3,000 iaitu Surau Nurul Hikmah Kampung Judan Hilir, Surau Darul Hikmah Kampung Petanak Hilir, Surau Darul Iman Kampung Petanak Tengah, Surau Babul Jannah Kampung Petanak Hulu, Surau Darul Hijrah SPS Kuala Lama, Surau Darul Taqwa Kampung Tellian Laut serta Surau Nurul Hidayah Kampung Tellian Laut.
Dalam pada itu, tiga masjid lain di kawasan Mukah turut menerima geran aktiviti sebanyak RM5,000 setiap satu yang telah diserahkan lebih awal minggu ini, iaitu Masjid Setia Raja Mukah, Masjid Jamek Mukah dan Masjid Kuala Lama Mukah.-EDISI UKAS