Program Sarawakku Sayang 2026 Perkasa Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan, Dekati Rakyat Secara Menyeluruh
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pendekatan turun padang menerusi pelaksanaan Program Sarawakku Sayang 2026 sebagai platform bersepadu dalam menyampaikan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat.
Program ini merupakan inisiatif murni yang menekankan pendekatan mendekati rakyat bagi memahami keperluan di peringkat akar umbi di samping menyediakan sebuah platform Pusat Sehenti (One-Stop Centre) yang menghimpunkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta.
Melalui platform tersebut, rakyat berpeluang mengakses pelbagai perkhidmatan meliputi pemeriksaan kesihatan, bantuan pendidikan, peluang keusahawanan, khidmat kebajikan serta perkhidmatan digital kerajaan termasuk pembayaran bil utiliti, saman dan premium tanah.
Pelaksanaan program ini berteraskan beberapa konsep utama iaitu pendekatan turun padang, program kesedaran bagi mempromosikan dasar dan inisiatif kerajaan, penyampaian perkhidmatan secara outreach serta jalinan mesra antara rakyat dan kerajaan yang menyemarakkan feel good factor dalam kalangan masyarakat.
Seiring itu, program ini dilaksanakan dengan objektif untuk menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan secara terus, memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti setempat serta memupuk semangat kebersamaan, perpaduan dan kecintaan terhadap Sarawak.
Program Sarawakku Sayang turut merangkumi lima komponen utama iaitu majlis rasmi, pameran utama, kaunter perkhidmatan, gerai jualan usahawan serta aktiviti masyarakat.
Komponen pameran utama melalui Sarawak Pavilion menampilkan pencapaian, pelaksanaan serta aspirasi pembangunan negeri termasuk aspek jaringan jalan raya, bekalan air dan elektrik, manakala kaunter perkhidmatan menyediakan pelbagai perkhidmatan berfokus kepada kesihatan, pendidikan, keusahawanan, kebajikan serta digital dan inovasi.
Selain itu, gerai jualan melalui Sarawak Kitchen memberi ruang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk makanan dan kraftangan, manakala aktiviti masyarakat merangkumi program sukan dan rekreasi seperti fun run, sukan rakyat, persembahan kebudayaan, hiburan serta e-peraduan.
Pengisian program selama tiga hari merangkumi pelbagai aktiviti termasuk pameran utama, majlis perasmian, sukaneka rakyat, konsert, aktiviti komuniti serta program kesihatan seperti senamrobik dan fun run sebelum diakhiri dengan majlis penutupan.
Bagi tahun 2026, program ini akan dilaksanakan di 12 bahagian didahului Limbang pada 10 hingga 12 April ini bertempat di Kompleks Sukan, Limbang dan majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Program sama akan diadakan di Miri pada 24 hingga 26 April di Stadium Miri serta Bintulu dari 22 hingga 24 Mei di Tapak Lapangan Terbang Lama, Bintulu.
Seterusnya, program akan diteruskan di Mukah pada 19 hingga 21 Jun di Dataran Pehin Setia Raja, sebelum beralih ke Sibu dari 26 hingga 28 Jun di Dataran Bandar Sibu dan Kapit pada 10 hingga 12 Julai di Perkarangan Dewan Suarah.
Bagi bulan Ogos, program akan diadakan di Sarikei dari 7 hingga 9 Ogos di Kompleks Sukan Sarikei, diikuti Betong pada 4 hingga 6 September di Kompleks Sukan Betong serta Sri Aman dari 25 hingga 27 September di Kompleks Sukan Sri Aman.
Program ini kemudiannya akan berlangsung di Serian pada 16 hingga 18 Oktober di pekarangan Parkir Serian Conference Centre, sebelum diteruskan di Samarahan dari 30 Oktober hingga 1 November di pekarangan sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan seterusnya di Kuching pada 20 hingga 22 November di Metrocity, Matang.
Pelaksanaan program ini diselaraskan oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) dengan kerjasama pelbagai kementerian, jabatan serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan bahagian bagi memastikan kelancaran serta keberkesanan pelaksanaannya.
Secara keseluruhan, Program Sarawakku Sayang 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan, di samping memperkukuh kesejahteraan sosial, perpaduan serta keyakinan rakyat terhadap usaha pembangunan negeri.-EDISI UKAS