Projek Jalan Brayun-Basi-Lubok Tedung Bernilai RM74 Juta Kini Dalam Proses Tender
SIMANGGANG: Projek pembinaan Jalan Brayun-Basi dan seterusnya menuju ke Lubok Tedong, Engkilili yang akan menelan perbelanjaan sebanyak RM74 juta kini sedang dalam proses tender.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek terbabit akan dimulai dengan pembinaan jalan raya sejauh 10 kilometer bermula dari kawasan Brayun menuju ke Basi sebelum rangkaian jalan raya sepanjang 13 kilometer dibina dari Basi menuju ke Lubok Tedung.
Difahamkan apabila siap kelak, projek Jalan Basi ini akan menghubungkan Bandar Simanggang ke Lebuhraya Pan Borneo di Kampung Stuga, Engkilili dan memberi manfaat kepada 10 rumah panjang serta dua sekolah rendah di kawasan terbabit.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, di sini, pada Khamis.
Selain itu, beliau yang juga ADUN Simanggang turut memberitahu pihak Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) juga sudah meluluskan projek pembinaan sejauh 10 kilometer yang menghubungkan kawasan Entulang Bungkang ke Taman Harmoni di sini.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada Projek 'Simanggang Link Road', apabila pintasan jalan dari Lebuhraya Pan Borneo melalui kawasan Entulang Bungkang selesai dilakukan maka pengguna kenderaan akan memiliki akses mudah ke bandar ini.
Terdahulu, rombongan RTM Sri Aman yang diketuai oleh Regina Ho telah mengadakan pertemuan dengan Harden bagi membincangkan cadangan penganjuran dua program iaitu Pertandingan Karaoke Lagu Gawai dan 'Story Telling' dalam bahasa Mandarin.
Bagaimanapun, lokasi dan tarikh tepat penganjuran dua program terbabit masih lagi belum diputuskan dengan Pertandingan Karaoke Lagu Gawai disaran diadakan pada awal Mei ini. -EDISI UKAS