Aidilfitri 2026: Sederhana Namun Sarat Nilai Kekeluargaan
KUCHING: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini diraikan dalam suasana sederhana, namun tetap meriah apabila masyarakat terus mengutamakan nilai kekeluargaan dan kebersamaan mengatasi aspek kemewahan.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Jumaat mendapati orang ramai kini lebih cenderung membuat persiapan secara berhemah dan terancang susulan keadaan ekonomi semasa, tanpa menjejaskan makna sebenar Aidilfitri.
Pendekatan berbelanja secara bijak serta membuat persiapan secara berperingkat menjadi pilihan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kewangan dalam kalangan keluarga.
Seorang warga emas, Salleh Mustapa, 65, berkata beliau mengambil langkah berjimat dengan membeli keperluan secara berperingkat.
“Persiapan raya tahun ini sederhana kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu. Saya beli keperluan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan,” katanya.
Senada dengan itu, Nur Safina Abdullah, 47, turut mengakui cabaran kos memberi kesan kepada persiapan tahun ini.
“Memang ada cabaran dari segi kos dan persiapan tahun ini berbeza berbanding tahun lepas. Namun, kami tetap berkumpul bersama keluarga untuk mengeratkan silaturahim,” ujarnya.
Sementara itu, Jazol Kipli, 62, berkata kemeriahan Aidilfitri masih dapat dirasai, khususnya di kawasan kampung melalui penglibatan komuniti.
“Walaupun persiapan sederhana, suasana di kampung tetap meriah dengan pelbagai aktiviti komuniti. Hari raya menjadi masa untuk kami berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara,” katanya.
Secara keseluruhan, Aidilfitri tahun ini memperlihatkan masyarakat bijak menyeimbangkan antara kesederhanaan dan kemeriahan, dengan nilai kekeluargaan kekal menjadi teras utama dalam meraikan perayaan.-EDISI UKAS