Rakyat Diseru Amal Penjimatan Tenaga dan Air Sempena Aidilfitri
PUTRAJAYA: Orang ramai diseru mengamalkan penggunaan tenaga dan air secara cekap dan berhemah sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, susulan jangkaan peningkatan penggunaan yang ketara dalam tempoh tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, penggunaan elektrik bagi sektor kediaman lazimnya meningkat antara 20 hingga 40 peratus berbanding hari biasa, manakala penggunaan air pula dijangka naik sekitar 30 hingga 35 peratus, khususnya di negeri-negeri tumpuan perantau pulang berhari raya.
Menurut beliau, peningkatan ini memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan sumber tenaga dan air dapat diurus secara mampan serta tidak membebankan sistem bekalan sedia ada.
“Amalan penjimatan yang mudah seperti mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, mengelakkan mod sedia, menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan peralatan cekap tenaga mampu memberi impak besar kepada pengurangan penggunaan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Jumaat.
Bagi penggunaan air pula, beliau menekankan sasaran penggunaan per kapita harian maksimum 160 liter yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara adalah selaras dengan piawaian antarabangsa dan boleh dicapai melalui disiplin pengguna.
Antara langkah disarankan termasuk membaiki kebocoran paip dengan segera, menggunakan sumber air alternatif seperti tadahan air hujan, memastikan penggunaan air secara berhemah, serta mengamalkan penggunaan semula air tidak tercemar bagi kegunaan harian.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan operator bekalan air telah bersiap siaga dengan pelan kontigensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim perayaan, bagi memastikan bekalan air kekal stabil kepada pengguna.
Selain aspek penjimatan, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu juga menekankan kepentingan keselamatan elektrik, termasuk memastikan pendawaian rumah dalam keadaan baik, tidak membebankan soket elektrik serta hanya menggunakan peralatan yang mempunyai pensijilan keselamatan.
“Langkah keselamatan ini penting bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, terutamanya ketika ramai yang pulang ke kampung atau meninggalkan kediaman dalam tempoh yang lama,” jelas beliau.
Tambahnya, usaha ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kemampanan serta tadbir urus sumber secara berkesan.
Beliau menegaskan bahawa amalan kecekapan tenaga dan air bukan sahaja membantu menjimatkan kos bil isi rumah, malah menyokong agenda negara dalam memastikan kelangsungan sumber yang mampan, berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan pembangunan masa hadapan. -EDISI UKAS