KUCHING: Aktiviti jualan sempena musim perayaan di Medan Niaga Satok kekal rancak dengan sambutan orang ramai yang menggalakkan, walaupun peniaga berdepan cabaran kenaikan harga bahan mentah.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati permintaan terhadap barangan basah seperti ayam, daging dan santan masih stabil, sekali gus memastikan kelangsungan jualan peniaga.
Seorang peniaga ayam, Aduka Morni, 43, berkata jualan tahun ini berjalan seperti biasa tanpa penurunan ketara walaupun kos meningkat.
“Alhamdulillah, jualan masih konsisten. Sambutan orang ramai tidak banyak berubah dan bekalan ayam serta daging juga mencukupi,” katanya yang telah berniaga di lokasi tersebut selama lapan tahun.
Beliau turut menyifatkan suasana persiapan Aidilfitri dalam kalangan masyarakat masih meriah seperti kebiasaan, termasuk penyediaan juadah tradisional bersama keluarga.
Sementara itu, peniaga santan, Zulkifli Abdullah, 39, memaklumkan kenaikan harga kelapa tua akibat kekurangan bekalan menjadi cabaran utama musim ini.
“Permintaan tetap ada, terutama menjelang saat akhir, tetapi harga kelapa tua meningkat kerana stok berkurangan,” katanya yang mewarisi perniagaan keluarga sejak lebih 50 tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, peniaga daging, Mashahor Khan, 24, mengakui terdapat sedikit penurunan jualan susulan kenaikan harga daging daripada RM65 kepada RM70 sekilogram.
“Jualan agak perlahan berbanding tahun lalu, namun pelanggan sudah mula membeli sejak beberapa hari kebelakangan ini,” ujarnya.
Secara keseluruhan, suasana jualan di Medan Niaga Kubah Ria kekal meriah dengan bekalan bahan mentah utama masih mencukupi, walaupun peniaga perlu menyesuaikan operasi berdepan peningkatan kos pasaran. –EDISI UKAS