PAKAN: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Sejajar dengan usaha tersebut, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom telah merasmikan projek pembinaan tapak rumah panjang baharu di Rumah Melaka, Sungai Mun, Seberai Nunggang di sini pada Khamis.
Projek bernilai RM100,000 itu dijangka siap dalam tempoh dua bulan dan menjadi asas kepada pembinaan rumah panjang yang lebih selesa serta selamat untuk penduduk setempat.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja menyediakan kemudahan asas yang lebih teratur, malah mengurangkan risiko kebakaran berbanding kediaman lama.
Tambahnya, pelaksanaan RTP mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara inklusif dan mampan.
Majlis berkenaan turut dihadiri kira-kira 50 penduduk yang menyambut baik projek tersebut kerana mampu meningkatkan kualiti hidup serta persekitaran kediaman yang lebih kondusif.-EDISI UKAS