Permintaan Lemang Meningkat, Peniaga Kekal Kualiti Walau Kos Naik
MIRI: Permintaan terhadap lemang di Kampung Pujut Tanjung Batu terus meningkat menjelang Aidilfitri, menjadikan kawasan tersebut tumpuan warga Miri termasuk pelanggan dari Brunei.
Pengusaha Lemang Pak Mail, Murni Ismail berkata, lemang yang dihasilkan menjadi pilihan kerana rasanya yang berlemak dan dimasak sempurna.
Walaupun kos bahan mentah seperti santan dan beras pulut meningkat, beliau mengekalkan harga jualan antara RM20 hingga RM25 mengikut saiz.
Menurutnya, jualan berlangsung dari pagi hingga malam dengan kebanyakan pelanggan membuat pembelian pada saat akhir menjelang 1 Syawal.
Setakat petang tadi, kira-kira 200 batang lemang telah terjual dan permintaan dijangka terus meningkat.
Murni yang dibantu ahli keluarga telah mengusahakan perniagaan itu lebih 20 tahun dengan resipi diwarisi daripada bapanya, selain menjamin kepuasan pelanggan termasuk menerima pemulangan jika lemang tidak cukup masak.
Sementara itu, pengusaha Lemang Pak Den, Mohamad Bakri Abdullah berkata, beliau terpaksa menaikkan harga susulan peningkatan kos bahan mentah.
Menurutnya, kekurangan bekalan buluh akibat banjir menyebabkan harga meningkat, selain kenaikan harga beras pulut dan santan sekitar RM2 hingga RM3.
Buluh kini diperoleh dari Bakong pada harga RM3 seruas, sekali gus memberi kesan kepada kos pengeluaran, menyebabkan tempahan dihadkan kepada 250 ruas berbanding 500 tahun lalu.
Beliau berkata, lemang dijual pada harga RM25 bagi saiz L dan RM30 bagi saiz XL, namun kualiti tetap menjadi keutamaan bagi memastikan kepuasan pelanggan.-EDISI UKAS