Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Ketuai Lawatan ke Kilang Dura Teroka Bahan Binaan Inovatif
IPOH: Usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur mampan di Sarawak terus diperkasa apabila Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel mengetuai lawatan rasmi ke kilang DURA di Chemor, di sini pada Selasa.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau penggunaan bahan binaan inovatif berasaskan teknologi komposit yang dilihat berpotensi tinggi untuk diaplikasikan dalam projek-projek pembangunan infrastruktur di negeri ini.
Sepanjang lawatan, delegasi diberi pendedahan mengenai teknologi pembuatan moden yang diguna pakai oleh DURA, termasuk kelebihan produknya yang tahan lama, kalis hakisan serta lebih menjimatkan kos dalam jangka panjang.
Produk keluaran syarikat itu juga telah digunakan secara meluas dalam pelbagai projek infrastruktur seperti pembinaan jambatan dan kemudahan industri, sekali gus membuktikan keupayaannya sebagai alternatif bahan binaan berprestasi tinggi.
Delegasi turut dibawa meninjau proses pengeluaran di kilang berkenaan bagi melihat sendiri kecekapan operasi serta kemampuan syarikat dalam menghasilkan penyelesaian pembinaan yang lebih lestari.
Selain itu, penggunaan bahan komposit DURA juga dilihat mampu menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon melalui ketahanan produk dan keperluan penyelenggaraan yang minimum, sejajar dengan aspirasi pembangunan hijau.
Dalam ucapannya, Dato Sri Dr Muhammad Abdullah menegaskan kepentingan penerapan inovasi dalam memastikan pembangunan infrastruktur Sarawak kekal mampan, berdaya tahan serta kos efektif, khususnya dalam menangani cabaran geografi dan persekitaran negeri.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pemain industri amat penting dalam mengenal pasti serta melaksanakan penyelesaian praktikal bagi projek semasa dan akan datang.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Kerajaan Sarawak untuk menilai dan mengintegrasikan teknologi baharu yang mampu meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos serta menyokong agenda pembangunan jangka panjang negeri.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Pengarah (Aset) Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (JPPS), Ir Ts Annastesia Sulastri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif InnoCement Sdn Bhd, Suhadi Sulaiman serta pegawai teknikal JPPS berkaitan.
Delegasi turut menerima taklimat daripada Pengasas DURA Technology, Profesor Adjung Ir Dr Voo Yen Lei.-EDISI UKAS