Sosek Malindo, Titian Muhibbah Perkukuh Hubungan Malaysia–Indonesia di Tebedu
TEBEDU: Penganjuran Program Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi Indonesia–Malaysia (Sosek Malindo) Ke-24 dan Malam Titian Muhibbah Ke-17 terus mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia–Indonesia, sekali gus memperkasakan kerjasama rentas sempadan melalui penyertaan kira-kira 400 peserta dari kedua-dua negara.
Program tahunan itu bukan sahaja menghidupkan semangat kesukanan, malah menjadi platform strategik dalam merapatkan hubungan masyarakat setempat, agensi kerajaan serta petugas sempadan di Tebedu, Malaysia dan Entikong serta Sanggau, Indonesia.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai acara sukan tradisional dan moden dianjurkan di beberapa lokasi utama termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu, Sekolah Kebangsaan (SK) Tebedu, Stadium Mini Tebedu dan Dewan Masyarakat Tebedu dengan majlis pembukaan serta penutupan rasmi berlangsung di Stadium Mini Tebedu pada 11 April 2026.
Kemuncak program, Malam Titian Muhibbah Ke-17 yang dijadualkan berlangsung di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin, bakal menampilkan persembahan kebudayaan seperti tarian dan nyanyian tradisional dari kedua-dua negara, sekali gus mengetengahkan keunikan warisan budaya serantau.
Majlis tersebut dijangka diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sekali gus menambah nilai kepada usaha mempromosikan pelancongan budaya dan memperkukuh hubungan antara komuniti sempadan.
Terdahulu, mesyuarat penyelarasan bagi memastikan kelancaran penganjuran telah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar, dengan kehadiran Camat Entikong serta wakil dari Kabupaten Sanggau bersama rombongan Indonesia.
Menurut Gerard George, penganjuran program tersebut bertujuan memupuk dan mempererat hubungan persahabatan serta kerjasama antara rakyat, agensi kerajaan dan petugas di pos sempadan Tebedu–Entikong.
Katanya, kesinambungan program ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan akar umbi, sekali gus menyokong pembangunan kawasan sempadan yang lebih inklusif, harmoni dan berdaya saing.-EDISI UKAS