Pewartaan Tanah Rizab Kampung Pasir Lutong Bawa Kelegaan, Jamin Masa Depan Penduduk
MIRI: Pewartaan Kampung Pasir, Lutong sebagai tanah rizab kampung kerajaan membawa sinar baharu kepada penduduk apabila bukan sahaja menjamin status kediaman mereka, malah membuka akses kepada kemudahan asas yang sekian lama dinantikan.
Wakil penduduk, Jabat Barak berkata, langkah kerajaan Sarawak itu memberi kelegaan besar kepada penduduk yang sebelum ini berdepan ketidaktentuan kerana menetap di tanah tanpa status sah.
Beliau menjelaskan bahawa pewartaan tersebut membolehkan penduduk menikmati kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan perkhidmatan pelupusan sampah yang sebelum ini tidak dapat disediakan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UKAS di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Miri, baru-baru ini.
Dalam pada itu, 10 keluarga dari kampung berkenaan kini ditempatkan di PPS selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada 19 Mac lalu, namun bantuan kerajaan termasuk sokongan kewangan bagi pembinaan semula rumah dilihat membantu meringankan beban mereka.
Seorang penduduk, Samban Repeni yang telah menetap lebih 30 tahun di kampung tersebut menyifatkan perkembangan itu sebagai titik perubahan penting ke arah kehidupan yang lebih selesa dan terjamin.
Mangsa lain, Merikan Ateng pula menzahirkan rasa syukur kerana tidak perlu berpindah ke penempatan lain, selain menghargai keprihatinan kerajaan serta agensi terlibat yang membantu ketika bencana kebakaran.
Bagi Uti Luyoh, pewartaan tersebut amat bermakna kerana ia menamatkan isu kekurangan kemudahan asas seperti bekalan elektrik yang dihadapi penduduk selama ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kerajaan negeri telah meluluskan pelan penempatan semula secara in-situ yang memberikan pemilikan tanah secara sah kepada penduduk.
Menurut beliau, pelan yang diluluskan pada 13 Mac lalu itu kini memasuki fasa pelaksanaan termasuk proses pewartaan kawasan sebagai tanah rizab kampung kerajaan.
Tambahnya, seramai 304 isi rumah terlibat dengan 197 daripadanya kekal di kawasan perancangan, manakala 107 lagi akan dipindahkan secara berperingkat ke kawasan yang lebih terancang.
Beliau turut memaklumkan bahawa 10 keluarga mangsa kebakaran layak menerima bantuan pembinaan semula rumah sehingga RM85,000 bagi setiap isi rumah, sekali gus memperkukuh usaha pemulihan komuniti terlibat.-EDISI UKAS