Kempen Implan Koklea Dua Kanak-Kanak Hampiri Sasaran, Kutipan Cecah RM125,000
MIRI: Harapan dua kanak-kanak untuk kembali mendengar semakin cerah apabila kempen kutipan dana bagi pembedahan implan koklea mereka kini hampir mencapai sasaran RM200,000 selepas berjaya mengumpul lebih RM125,000 dalam tempoh hanya 13 hari.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kempen yang dilancarkan pada 24 Mac lalu menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil sokongan padu masyarakat.
Menurut beliau, setakat jam 11 pagi Isnin, jumlah kutipan dalam akaun bank mencecah RM104,279.51 sebelum meningkat kepada RM125,579.51 selepas menerima tambahan RM21,300 pada hari sama.
“Setakat ini kita telah melepasi separuh daripada sasaran dan saya yakin jumlah ini mampu dicapai dalam minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di Pejabat SUPP Piasau, pada Isnin.
Kempen tersebut bertujuan membantu dua kanak-kanak, Flora Lee Kai Shuan, 5, dan Andy Harrison, 3, yang memerlukan pembedahan implan koklea bagi memulihkan deria pendengaran mereka.
Tambah beliau, antara penyumbang pada Isnin termasuk 29 persatuan dan kumpulan tarian yang berjaya mengumpul RM14,000, selain sumbangan RM6,300 daripada Persatuan Penganut Dewa Some Shak Lung Kong di Miri serta RM1,000 daripada seorang penderma individu.
Datuk Sebastian menegaskan, sokongan berterusan daripada masyarakat bukan sahaja mempercepat usaha mencapai sasaran, malah memberi sinar baharu kepada masa depan kedua-dua kanak-kanak tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan doktor bagi menetapkan jadual pembedahan, yang akan dilaksanakan secepat mungkin sebaik sahaja sasaran kutipan dana dicapai.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penderma, organisasi dan penyokong atas keprihatinan serta sumbangan yang disalurkan demi membantu kedua-dua kanak-kanak berkenaan menjalani kehidupan yang lebih baik. -EDISI UKAS