Program Berorientasikan Pelanggan Perkukuh Hubungan Institusi dan Masyarakat
DARO: Penganjuran program berorientasikan pelanggan terus menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi dan masyarakat, sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih telus dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, inisiatif seperti Hari Bersama Pelanggan mampu membuka ruang interaksi dua hala yang konstruktif antara pihak pengurusan dan masyarakat setempat.
“Program ini amat signifikan kerana ia membuka ruang komunikasi yang lebih telus dan berkesan, sekali gus membina kepercayaan masyarakat terhadap peranan Baitulmal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Hari Bersama Pelanggan dan Ramah Tamah Aidilfitri Pejabat Perhubungan Daro Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Tahun 2026 yang berlangsung dengan meriah di Dewan Masyarakat Daro, di sini, pada Rabu.
Majlis yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelanggan, penerima bantuan, agensi kerajaan serta pemimpin setempat dalam suasana penuh muhibah sempena sambutan Aidilfitri.
Dr. Safiee menambah, TBS memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan dana umat Islam dilaksanakan secara amanah, telus dan berimpak tinggi, khususnya dalam membantu golongan asnaf, memperkasa bidang pendidikan, meningkatkan kebajikan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi masyarakat Islam.
Menurutnya, setiap sumbangan yang disalurkan oleh para penyumbang dan pembayar zakat merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial yang besar, dan perlu diurus dengan penuh integriti bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Dalam pada itu, Dr. Safiee turut menekankan bahawa kejayaan dan keberkesanan TBS amat bergantung kepada sokongan padu semua pihak termasuk pembayar zakat, penerima bantuan serta rakan strategik yang sentiasa memainkan peranan dalam memperkukuh institusi tersebut.
Beliau juga menggesa masyarakat agar terus berurusan melalui saluran rasmi bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan secara sistematik dan berintegriti.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak TBS sentiasa komited dalam menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan, termasuk mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan bantuan serta menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan.
“Maklum balas daripada pelanggan amat penting sebagai asas kepada penambahbaikan berterusan, sekali gus memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa masyarakat,” ujarnya.
Beliau berharap agar hubungan erat antara pihak TBS dan masyarakat akan terus diperkukuhkan melalui penganjuran program seumpama ini secara berterusan.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Igan Ahmad Jonnie Zawawi, Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Mukah Osman Immun, Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Rahim Mihos, Pegawai Agama Islam Daerah Daro Anas Sarip, Setiausaha Majlis Daerah Matu dan Daro Chiong Siew Ping serta Pegawai Penerangan Daerah Daro Syahrulizan Madian.-EDISI UKAS