Pengukuhan Ekonomi Bumiputera Fokus Utama Mesyuarat MEB 2026
PUTRAJAYA: Usaha memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera agar kekal berdaya tahan serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa dan masa hadapan menjadi agenda utama Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan Pertama Tahun 2026, yang diadakan di Dewan Persidangan ICU JPM, Bangunan Perdana Putra, pada Isnin.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam mesyuarat itu, pelbagai strategi telah dibincangkan bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi utama terus diperkasakan melalui pendekatan yang lebih tersusun, berfokus dan berimpak tinggi.
Datuk Amar Awang Tengah menegaskan kepentingan memperluas penglibatan Bumiputera Sarawak dalam sektor berpotensi tinggi atau High-Growth High Value (HGHV), selaras dengan perubahan landskap ekonomi global dan keperluan pembangunan Sarawak.
Menurut beliau, antara sektor yang dikenal pasti termasuk industri hidrogen, petrokimia, pembuatan maju (advanced manufacturing), aeroangkasa serta semikonduktor yang berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Selain itu, katanya, usaha memperkukuh keterjaminan makanan melalui pembangunan sektor pertanian komersial sebagai langkah strategik dalam memastikan kestabilan bekalan makanan serta meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan pembangunan yang inklusif dan mampan bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat Bumiputera, khususnya di Sarawak.
Tambahnya, segala inisiatif yang dibincangkan adalah selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang mensasarkan Sarawak mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.-EDISI UKAS