Persatuan Ketua Kaum Ngemah Hilir Ditubuhkan, Perkasa Suara Akar Umbi
KANOWIT: Usaha memperkukuh perpaduan dan memperkasakan kepimpinan akar umbi diperkukuh menerusi penubuhan Persatuan Ketua Kaum Ngemah Hilir yang diputuskan dalam satu mesyuarat khas yang berlangsung di Dewan Serbaguna SPS Nanga Ngungun, di sini pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana menzahirkan sokongan penuh serta memuji komitmen Penghulu dan Tuai Rumah atas inisiatif berkenaan.
"Penubuhan persatuan ini adalah satu platform yang amat baik untuk menyatukan semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
"Dengan adanya persatuan ini, suara masyarakat akan menjadi lebih tersusun, lebih kuat dan lebih berkesan untuk disalurkan kepada pihak atasan," katanya semasa mesyuarat berkenaan.
Anyi menambah, peranan persatuan tersebut amat penting dalam memastikan setiap isu serta keperluan rakyat di peringkat kampung dan rumah panjang diketengahkan secara kolektif serta sistematik.
Mengenai aspek pembangunan, beliau memaklumkan semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang di Ngemah Hilir telah menerima projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Jelasnya, projek-projek terbabit kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk yang telah siap, sedang dibina mahupun yang telah diluluskan oleh agensi berkaitan.
Dalam mesyuarat sama, barisan kepimpinan persatuan turut dipilih secara sebulat suara dengan Tuai Rumah Kulleh Jabu dilantik sebagai Pengerusi dan Tuai Rumah Saini sebagai Timbalan Pengerusi.
Jawatan Setiausaha disandang oleh Tuai Rumah Juro dengan dibantu Tuai Rumah Merebai sebagai Timbalan Setiausaha, manakala Tuai Rumah Linggi Sawing dan Tuai Rumah Baginda masing-masing dilantik sebagai Bendahari dan Timbalan Bendahari.-EDISI UKAS