BETONG: Isu gangguan bekalan air bersih yang kerap menjejaskan penduduk di kawasan Saribas, termasuk Kampung Tuie, kini mendapat perhatian serius.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam menyuarakan kebimbangan terhadap masalah berkenaan dan menegaskan komitmennya untuk memantau secara langsung keadaan tersebut bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan.
“Saya tidak hanya mendengar, tetapi akan memantau secara langsung masalah ini.
“Isu bekalan air adalah keperluan asas yang perlu diberi perhatian serius demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Tuie yang berlangsung di Dewan Matassim, di sini pada Ahad.
Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas menekankan bahawa pihak kerajaan negeri memahami kepentingan bekalan air bersih dalam kehidupan seharian, terutama bagi keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas.
Katanya, beberapa langkah sementara sedang dilaksanakan bagi mengurangkan gangguan bekalan air, termasuk penjadualan penghantaran bekalan air tambahan ke kawasan terjejas dan kerja-kerja penyelenggaraan sistem paip yang lebih efisien.
“Dalam jangka masa panjang, kita akan menilai infrastruktur sedia ada dan memastikan projek pembekalan air yang lebih mampan dapat dilaksanakan.
“Saya ingin memastikan setiap penduduk di Saribas menerima bekalan air bersih yang berterusan,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata penganjuran majlis seumpama ini berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat dengan pemimpin.
“Kehadiran kami bukan sekadar memenuhi protokol, tetapi sebagai tanda komitmen untuk mendengar dan memahami keperluan rakyat.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat akibat faktor global, kerajaan terus komited membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif, termasuk bantuan tunai dan program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS),” ujarnya.
Penganjuran program tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menjadi platform untuk mengetengahkan isu setempat yang memerlukan perhatian segera.-EDISI UKAS