Mahkamah Mukah Berwajah Baharu, Operasi Lebih Kondusif
MUKAH: Mahkamah Mukah kini berwajah baharu selepas siap kerja pengubahsuaian, menyediakan premis yang lebih kondusif dan selesa bagi kelancaran prosiding kehakiman.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Panglima Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata bangunan yang bernilai RM474,925 itu telah mula beroperasi secara rasmi pada 10 Februari lalu, dengan sokongan tenaga kerja yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Penolong Pegawai Tadbir Undang-Undang serta jurubahasa.
“Bangunan ini menggantikan premis lama di Jalan Kubu II yang telah diserahkan semula kepada kerajaan Sarawak untuk ditransformasikan sebagai muzium.
“Perpindahan ke premis baharu di Jalan Desa Tanjung memberi nilai tambah kepada bangunan lama sebagai arkib warisan negeri yang akan terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Mahkamah Mukah di Jalan Desa Tanjung, Mukah pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa dengan adanya bangunan baharu, operasi kehakiman dapat dijalankan di lokasi yang lebih selesa dan dilengkapi kemudahan moden, sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna serta memastikan akses keadilan yang lebih efisien kepada masyarakat setempat.
“Walaupun melalui tempoh peralihan selama tujuh bulan ketika kerja pengubahsuaian dijalankan, pihak mahkamah tetap memastikan akses keadilan kepada penduduk tidak terjejas,”ujarnya.
Untuk rekod, sepanjang tahun 2025, Mahkamah Mukah berjaya menyelesaikan sebanyak 110 kes Mahkamah Sesyen dan 1,429 kes Mahkamah Majistret.
Turut hadir ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi serta Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias.-EDISI UKAS