Kesiapsiagaan Komuniti Penting Hadapi Arus Pembangunan
SEMOP: Penduduk di kawasan ini diseru agar sentiasa bersedia dalam menghadapi arus pembangunan yang semakin pesat demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati bersama.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, pelbagai projek pembangunan dirancang dan dilaksanakan bagi merancakkan pertumbuhan sosioekonomi kawasan tersebut.
“Antara projek utama yang bakal memberi impak besar ialah pembinaan Jambatan Batang Paloh, Dewan Masyarakat Pulau Bruit, Masjid Semop, Pasar Tani, medan selera serta bangunan kedai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 anjuran bersama Pusat Khidmat ADUN Semop dan Pusat Khidmat Parlimen Tanjung Manis di Kampung Kut, Daro, pada Isnin.
Datuk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut memaklumkan bahawa lebih RM9 juta peruntukan telah disalurkan bagi pelaksanaan projek di tiga buah kampung iaitu Kampung Semop, Kampung Saai dan Kampung Kut yang kini telah siap dan diserahkan tapak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab merakamkan ucapan tahniah kepada anak-anak Pulau Bruit yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan minggu lalu dan menyifatkan pencapaian mereka sebagai satu kebanggaan kepada keluarga dan masyarakat setempat.
Beliau turut menasihati penduduk agar mengamalkan sikap berjimat cermat dalam perbelanjaan harian berikutan keadaan ekonomi semasa yang sedikit terjejas akibat krisis global.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk penyampaian duit raya kepada kanak-kanak serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah seperti barangan elektrik dan perkakas dapur.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian selamat datang oleh golongan belia dan kanak-kanak kampung, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan komuniti setempat.
Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah menjadi platform penting dalam menyampaikan maklumat pembangunan serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.-EDISI UKAS