Program Sarawakku Sayang Platform Strategik Dekatkan Kerajaan Dengan Rakyat
KUCHING: Program Sarawakku Sayang 2026 menjadi platform strategik Kerajaan Sarawak dalam mempercepat penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh pendekatan turun padang bagi mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, program seumpamanya membolehkan agensi kerajaan berinteraksi secara langsung dengan rakyat, sekali gus menyampaikan maklumat tepat berkaitan dasar, inisiatif serta projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan.
Menurut beliau, pendekatan proaktif tersebut bukan sahaja meningkatkan kefahaman rakyat terhadap polisi kerajaan, malah membantu mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat secara lebih awal dan menyeluruh.
“Melalui pendekatan ini, kita tidak menunggu isu timbul baharu bertindak, sebaliknya mengenal pasti lebih awal keperluan rakyat yang sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa termasuk faktor ekonomi, sosial dan geopolitik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu khas Juh Randau UKAS berkenaan Program Sarawakku Sayang 2026 di Studio UKAS pada Selasa.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar yang juga Pengerusi Sarawakku Sayang 2026 menambah, interaksi secara bersemuka memberi ruang kepada penjawat awam memahami realiti kehidupan rakyat di lapangan seterusnya merangka penyelesaian yang lebih tepat, cepat dan berkesan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan konsep perkhidmatan yang diterapkan memberi penekanan kepada penyelesaian segera tanpa kerenah birokrasi yang boleh menjejaskan kecekapan penyampaian.
“Kaunter yang dibuka berteraskan perkhidmatan, di mana isu berkaitan pendidikan, utiliti, infrastruktur dan sebagainya dapat ditangani secara terus tanpa melalui proses yang panjang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata program tersebut turut menawarkan nilai tambah melalui pelbagai pengisian melibatkan masyarakat seperti pameran, program belia, konsert rakyat, Malam Budaya serta ruang keusahawanan seperti Sarawak Kitchen.
Jelasnya, pendekatan inklusif itu selari dengan teras keterangkuman sosial dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan penyertaan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, peringkat umur dan lokasi.
“Program ini juga menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan antara penjawat awam, kepimpinan masyarakat dan rakyat dalam memacu pembangunan negeri secara bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menyatakan keyakinan terhadap kesiapsiagaan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti yang komited menjayakan program berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar memanfaatkan platform tersebut untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi berkaitan serta mendapatkan maklumat dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan.
“Gunakan peluang ini untuk bertanya, mendapatkan penjelasan dan memahami segala inisiatif kerajaan demi manfaat bersama,” tambahnya.
Kerajaan Sarawak melalui Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) dengan kerjasama pelbagai agensi Sarawak dan Persekutuan akan menganjurkan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Limbang dari 10 hingga 12 April 2026 di Kompleks Sukan Limbang.
Limbang merupakan lokasi penganjuran pertama daripada keseluruhan 12 lokasi Program Sarawakku Sayang 2026 yang akan dilaksanakan di seluruh Sarawak.
Program ini merupakan inisiatif berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pendekatan turun padang bagi mendekati rakyat serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan secara lebihcekap, menyeluruh dan berkesan di peringkatakar umbi.
Penganjuran program ini juga menyediakan platform Pusat Sehenti (One-Stop Centre) yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta untuk kemudahan rakyat.-EDISI UKAS