TYT Sarawak & Isteri Meriahkan Ramah Tamah Aidilfitri DUN Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi memeriahkan suasana Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berlangsung dalam penuh kemesraan dan semangat kebersamaan.
Ketibaan beliau berdua sekitar jam 11.30 pagi disambut Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Idris Buang.
Majlis yang berlangsung di Atrium DUN Sarawak pada Rabu itu menghimpunkan barisan kepimpinan negeri termasuk Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua serta Ketua-Ketua Jabatan.
Sebagai simbol keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki sempena Aidilfitri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut menyaksikan penyerahan sumbangan dana berjumlah RM10,000 oleh Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia kepada Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM).
Majlis seumpama ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan kepimpinan dan penjawat awam, malah mencerminkan nilai perpaduan serta keharmonian yang terus menjadi tunjang pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS