Minyak Mentah Sarawak Wajar Difokus Untuk Industri Bernilai Tinggi
KUCHING: Nilai komersial minyak mentah Malaysia khususnya dari Sarawak adalah lebih tinggi apabila dimanfaatkan untuk sektor bernilai tinggi berbanding penggunaan domestik biasa, sekali gus memberi pulangan ekonomi yang lebih strategik kepada negeri dan negara.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, kualiti minyak yang dihasilkan dari Sarawak serta beberapa negeri lain seperti Sabah, Terengganu dan Kelantan adalah lebih baik berbanding minyak dari rantau lain yang mempunyai kandungan sulfur lebih tinggi.
Beliau menjelaskan, minyak berkualiti tinggi tersebut lebih sesuai digunakan dalam industri berteknologi tinggi seperti penerbangan dan jentera berskala besar berbanding kegunaan harian seperti kenderaan biasa.
“Kita tidak memberi ikan empurau yang berharga RM1,500 sekilo untuk dimakan oleh kucing, sebaliknya kita sajikan ikan tersebut untuk majlis-majlis penting.
“Ibarat ikan empurau yang bernilai tinggi, ia tidak digunakan sewenang-wenangnya, tetapi dikhaskan untuk kegunaan istimewa. Begitu juga dengan minyak kita kerana kualitinya yang premium, ia tidak digunakan untuk diesel, motosikal atau bot, sebaliknya untuk sektor yang memerlukan standard lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 di Atrium Kompleks DUN Sarawak, pada Rabu.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan kekuatan sumber asli negeri menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada daya tahan ekonomi Sarawak, sekali gus memperkukuh peranan negeri dalam menyokong kestabilan ekonomi negara.
Tambahnya, Sarawak juga berpotensi menjadi pengeksport sumber air pada masa hadapan, sekali gus memperluaskan portfolio sumber strategik negeri.
“Tahniah kepada Premier Sarawak sebab dapat memikirkan pada satu hari nanti, minyak akan habis digantikan oleh hidrogen dan dengan hidrogen ini, kita dapat memajukan negeri dan negara kita,” ujarnya.-EDISI UKAS