Cadangan Penubuhan Majlis Daerah Pantu Dibincangkan
PANTU: Cadangan penubuhan Majlis Daerah Pantu telah dibincangkan dalam satu sesi khas yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Pantu pada Rabu.
Perbincangan yang menghimpunkan pegawai pentadbiran serta pihak berkepentingan bagi meneliti keperluan dan kesesuaian penubuhan sebuah majlis daerah di kawasan berkenaan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk taklimat ringkas mengenai latar belakang Daerah Pantu serta perbincangan menyeluruh berkaitan proses, keperluan dan garis panduan penubuhan majlis daerah.
Turut disentuh ialah cadangan serta maklum balas berkaitan aspek pentadbiran dan keperluan sokongan lain bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
Cadangan penubuhan Majlis Daerah Pantu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh sistem pentadbiran tempatan, di samping meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam kepada penduduk setempat.
Selain itu, penubuhan majlis daerah ini dijangka dapat mempercepat pembangunan infrastruktur, memperbaiki pengurusan kemudahan awam serta merancang pembangunan kawasan secara lebih tersusun dan mampan.
Dalam perbincangan tersebut, pihak-pihak terlibat turut menekankan kepentingan penyelarasan antara agensi, penyediaan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi serta penglibatan komuniti dalam memastikan kejayaan pelaksanaan cadangan tersebut.
Sesi perbincangan ini merupakan langkah awal ke arah merealisasikan penubuhan Majlis Daerah Pantu, selaras dengan usaha memperkasa pembangunan luar bandar di Bahagian Sri Aman. -EDISI UKAS