Program Sarawakku Sayang 2026 Dekatkan Kerajaan Dengan Rakyat Bermula di Limbang
KUCHING: Program Sarawak Ku Sayang (SKS) 2026 membuka tirai di Bahagian Limbang bermula 10 hingga 12 April ini, menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, bantuan serta peluang ekonomi dalam satu lokasi bagi memudahkan rakyat berurusan secara terus.
Limbang dipilih sebagai lokasi pertama jelajah tahun ini sebelum program diteruskan ke bahagian lain di seluruh Sarawak sehingga November, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang inklusif tanpa mengira lokasi.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, program tersebut menjadi platform penting yang mendekatkan rakyat dengan pelbagai agensi kerajaan.
“Sebagai wakil rakyat, saya amat mengalu-alukan penganjuran Program Sarawak Ku Sayang ini dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak kerana memilih Limbang sebagai tuan rumah pertama.
“Program ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan di satu tempat supaya rakyat dapat berurusan secara langsung dengan lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program bual bicara Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS pada Rabu.
Tambah beliau, antara manfaat utama program tersebut ialah kemudahan akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan secara setempat, sekali gus menjimatkan masa dan kos rakyat.
Selain itu, program berkenaan turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma, hebahan bantuan seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), serta peluang ekonomi kepada usahawan tempatan menerusi platform Limbang Kitchen.
Sementara itu, Residen Limbang, Unus Tambi memaklumkan beberapa mesyuarat penyelarasan telah diadakan bersama agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, Jabatan Pertanian dan Pejabat Daerah bagi memastikan kelancaran penganjuran program.
“Melalui Limbang Kitchen, usahawan tempatan diberi peluang untuk menjalankan perniagaan dan mempromosikan produk masing-masing,” katanya.
Beliau turut menjangkakan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang teruja menantikan pelbagai tarikan termasuk e-peraduan dengan hadiah seperti motosikal, telefon pintar, televisyen pintar serta barangan elektrik, selain persembahan artis tempatan pada 10 dan 11 April.
Majlis perasmian rasmi dijadual berlangsung pada 11 April jam 10.30 pagi di Kompleks Sukan Limbang dan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Orang ramai khususnya penduduk Limbang serta kawasan berhampiran termasuk Lawas, Miri, Sabah, Labuan dan Brunei Darussalam dijemput hadir bagi memeriahkan program yang bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, malah merancakkan ekonomi setempat.-EDISI UKAS