Pelajar Digesa Lebih Peka, Utamakan Keselamatan Dalam Aktiviti
SIBU: Keselamatan pelajar dalam setiap aktiviti, khususnya yang berisiko tinggi, perlu diberi perhatian serius dengan sikap lebih peka dan berani membuat keputusan demi melindungi diri daripada sebarang kejadian tidak diingini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, aspek keselamatan mesti sentiasa menjadi keutamaan dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap aktiviti melibatkan pelajar.
Menurut beliau, walaupun garis panduan telah ditetapkan, pelajar tidak seharusnya hanya menurut arahan tanpa menilai tahap keselamatan.
“Pelajar berhak untuk berkata tidak jika merasakan sesuatu arahan itu tidak selamat. Sikap ini perlu diamalkan demi menjaga keselamatan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Joey Ling Lin Siang di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu menegaskan pelajar juga perlu berani mempertikaikan arahan pihak atasan sekiranya terdapat risiko terhadap keselamatan.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa meskipun garis panduan dan SOP telah tersedia, tahap pematuhan dalam pelaksanaan sebenar masih menjadi cabaran utama.
“Kita sering menilai semula garis panduan selepas berlakunya kemalangan. Sepatutnya, penilaian dan penelitian perlu dibuat lebih awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan insiden dua penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang lemas ketika aktiviti berkayak di Kedah pada 4 April lalu sebagai peringatan penting kepada semua pihak.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pematuhan terhadap SOP serta penilaian risiko yang teliti perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin dan tragedi seumpama itu tidak berulang.-EDISI UKAS