RM1,934,600 Juta Geran Perkasa Belia & Sukan Sarawak, Persediaan Awal Hadapi Sukan SEA 2027
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan belia dan sukan apabila menyalurkan geran berjumlah RM1.93 juta kepada 43 persatuan dan pertubuhan sebagai pemangkin aktiviti berimpak tinggi serta persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa ekosistem belia dan sukan secara menyeluruh.
Menurut beliau, geran berjumlah RM1,934,600 itu diagihkan kepada 43 persatuan dan pertubuhan, melibatkan lima badan belia serta 38 organisasi sukan di seluruh Sarawak.
“Geran ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol kepercayaan kerajaan kepada anak muda dan komuniti sukan untuk terus aktif, progresif serta memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam amanat sempena Majlis Penyerahan Geran Belia dan Sukan 2026 di Hotel Waterfront Kuching pada Rabu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu menambah, bantuan tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada persatuan terlibat untuk meningkatkan kualiti pentadbiran selain melaksanakan program yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Sarawak kini giat membuat persiapan sebagai tuan rumah bagi beberapa acara sempena Sukan SEA 2027.
Katanya, sebanyak 17 acara sukan akan diadakan di negeri ini dengan pelbagai usaha menaik taraf kemudahan dan fasiliti sukan sedang dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan optimum.
“Sebanyak 11 projek pembangunan dengan anggaran kos RM277 juta sedang dilaksanakan di Kuching, termasuk naik taraf Stadium Sarawak yang akan menjadi lokasi majlis perasmian temasya berprestij itu,” jelasnya.- EDISI UKAS