350 Petinju Hangatkan Kejohananan Muaythai Piala TYT Sarawak, Piala Borneo 2026
KUCHING: Nama-nama besar dalam sukan muaythai di rantau Asia Tenggara bersedia menghangatkan gelanggang Kejohananan Muaythai Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Dan Piala Borneo 2026 dijadual berlangsung pada 16-19 April ini.
Kejohanan berprestij memasuki edisi ke-10 penganjurannya akan diadakan di Tebingan Sungai Kuching yang menyaksikan seramai 350 peserta bakal berentap dalam lebih 100 pertarungan pro dan amatur.
Setakat ini, negara-negara luar yang telah mengesahkan penyertaan adalah Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei Darussalam, selain 28 kelab tempatan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Kejohananan tersebut dianjurkan oleh PMNS dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP); Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU); Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).
Menurut Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, kejohananan tersebut terus mengekalkan reputasinya sebagai kejohanan tempur yang sentiasa dinanti-nantikan oleh penggiat muaythai dari seluruh negara khasnya dari rantau Asia Tenggara.
“Alhamdullillah, setiap tahun kejohanan ini sentiasa menerima penyertaan yang amat menggalakkan termasuk dari negara-negara luar khususnya di rantau Asia Tenggara.
“Ini jelas membuktikan kejohanan ini semakin dikenali dan telah meletakkan nama Sarawak di peta dunia sukan muaythai.
“Perkembangan positif ini secara tidak langsung dapat membantu dalam merancakkan sektor pelancongan negeri dan membawa impak ekonomi kepada pemain-pemain industri perhotelan, pengangkutan dan makanan,” menurut Jumaat dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain merancakkan sektor pelancongan, kejohanan itu katanya turut menjadi platform pendedahan berguna kepada atlet Sarawak memantapkan kemahiran mereka, lebih-lebih sebagai persiapan untuk mempertahankan kejuaraan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor, Ogos nanti.
Menurut Jumaat lagi, pada edisi kali ini katanya, PMNS turut meneruskan penganjuran Piala Borneo selepas mendapat penyertaan menggalakkan dari kelab-kelab di seluruh kepulauan Borneo pada tahun lepas.
Katanya, Piala Borneo menjadi wadah terbaik dalam mengukuhkan integrasi nasional antara rakan Borneo selain menggalakkan golongan belia untuk bergiat aktif dalam aktiviti sihat.
Aksi akan dimulakan dengan perlawanan muaysport pada Jumaat, manakala perlawanan semi pro dan pro berlangsung sebelam malam.
Pada Sabtu, beberapa lagi aktiviti menarik diadakan sebagai pelengkap kepada majlis perasmian yang diadakan pada sebelah malam.
Selain pertandingan esports dan persembahan bela diri, penonton juga bakal disajikan dengan perlawanan gusti pertunjukan yang menampilkan penggusti ternama tempatan.
Pada hari terakhir (Ahad), akan diadakan Fun Walk Muaythai Piala TYT 2026 sempena Jelajah ANMS 2026 Bahagian Kuching Daerah Kuching bermula jam 6 pagi.
Selain itu, turut diadakan nanti seminar beladiri wanita oleh jaguh muaythai dan MMA serta aksi berpasukan tag team 5 sepasukan, acara baharu diperkenalkan pada kejohanan kali ini.
Penyampaian Piala TYT akan diadakan pada malam Sabtu manakala Piala Borneo 2026 diserahkan pada hari Ahad. - EDISI UKAS