Program Robotik Perluas Pendedahan Teknologi Pelajar Luar Bandar di Matu
MATU: Program Robotik 101: Mudah Untuk Semua yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Bruan Mapal, di sini, pada Rabu menjadi platform penting dalam memperluas pendedahan teknologi kepada pelajar luar bandar.
Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Menurut beliau, masih ramai pelajar di kawasan luar bandar yang memerlukan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan berasaskan teknologi seperti robotik.
“Program seperti ini mampu membuka minda pelajar serta menyemai minat mereka terhadap bidang STEM, sekali gus membantu merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program berkenaan yang disertai sembilan buah sekolah di bawah Zon Tanjung Jol.
Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian, SK Pergau, SK Orang Kaya Sergunim, SK Sekaan Kechil, SK Kuala Matu, SJK Chung Hua Matu, SK Orang Kaya Selair serta sekolah tuan rumah, SK Bruan Mapal.
Program tersebut dilaksanakan hasil peruntukan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang disalurkan melalui Ahli Parlimen Igan bagi memperkasa pendidikan teknologi dalam kalangan pelajar luar bandar.-EDISI UKAS