2,379 Pelajar Sarikei Terima Bantuan Pakaian, Kasut Sekolah
SARIKEI : Seramai 2,379 pelajar daripada 19 sekolah di daerah ini menerima bantuan pakaian dan kasut sekolah dalam usaha membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan bagi memastikan pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lebih selesa dan teratur.
“Bantuan ini memberi manfaat besar kepada ibu bapa, terutamanya mereka yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah. Ia sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan,” katanya.
Menurut beliau, penyerahan bantuan telah diagihkan Pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat yang diketuai Penghulu Huang Tiong Kang bersama Kapitan Ling Dien Yong kepada pelajar.
Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, pendidikan merupakan aspek penting dalam membentuk masa depan generasi muda dan perlu terus diberi perhatian.
“Melalui bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah ini, pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan lebih selesa dan berkeyakinan. Diharapkan ia juga dapat meningkatkan semangat mereka untuk terus memberi tumpuan terhadap pelajaran,” ujarnya.
Antara 19 sekolah yang terlibat ialah SK Methodist Anglo-Chinese, SK St Anne, SJK(C) Kwang Chien, SJK(C) Wah Man, SJK(C) Su Ming, SJK(C) Su Tak, SK Tanah Putih, SK Sungai Petai, SJK(C) Hua Nam, SK Abang Haji Matahir, SK Agama Sarikei, SK Sarikei, SJK(C) Su Lee, SK Sungai Sentebu, SJK(C) Su Lok, SJK(C) Su Hing, SK St. Andrew, SJK(C) San Ming dan SK Adin.-EDISI UKAS