Peserta SKS Fun Walk Miri Tampilkan Keunikan Budaya, Etnik Tempatan
MIRI: Program Sarawakku Sayang (SKS) Fun Walk di Miri bukan sahaja meriah dengan penyertaan orang ramai, malah menjadi pentas mempamerkan keindahan budaya dan kepelbagaian etnik di bandar ini.
Rata-rata peserta tampil kreatif dengan mengenakan pakaian tradisional pelbagai kaum seperti Iban, Melayu, Melanau, Kedayan, Cina serta etnik Orang Ulu, sekali gus menyerlahkan identiti masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini.
Seorang peserta, Peter John Colin, meluahkan rasa teruja melihat penyertaan yang begitu ramai dengan penampilan pakaian tradisional sambil menyertai aktiviti sihat.
“Ini merupakan kali pertama beliau menyertai program seumpama itu dan berharap ia dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang," katanya.
Peter yang tampil segak memakai sebahagian pakaian tradisional Iban berkata demikian ketika ditemui di acara SKS Fun Walk di Stadium Miri pada Ahad.
Bagi Fitra Abd Ghafar pula, walaupun berbangsa Melayu, beliau berbangga mengenakan pakaian tradisional Lun Bawang.
“Program Sarawakku Sayang menjadi platform terbaik untuk menghimpunkan rakyat Sarawak di satu tempat serta memberi peluang mengenali kepelbagaian kaum dan budaya yang ada.
Sementara itu, Kristina Andrew turut berkongsi kegembiraannya apabila dapat memperagakan pakaian tradisional Orang Ulu.
“Saya berasa bangga dapat mengetengahkan warisan budaya kepada masyarakat umum,” katanya.
Menurut beberapa peserta lain, penglibatan dalam program tersebut memberi peluang kepada mereka untuk memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda, di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Sementara itu pelepasan peserta telah disempurnakan pada jam 7.30 pagi Ahad oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Datuk Dr Ripin Lamat.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang dan Residen Bahagian Miri Galong Luang.
Program itu turut mencerminkan usaha kerajaan dalam memupuk gaya hidup sihat sambil memperkukuh keharmonian dan perpaduan rakyat melalui aktiviti komuniti yang inklusif.
SKS Fun Walk merupakan antara pengisian menarik sempena penganjuran Program Sarawakku Sayang 2026 di Miri yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.-EDISI UKAS