ADUN Kemena Seru Masyarakat Utamakan Amalan Berhemah Penting Sepanjang Musim Gawai
BINTULU: Orang ramai disaran mengamalkan perbelanjaan berhemah sepanjang sambutan Gawai bagi mengelakkan tekanan kewangan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, tempoh perayaan yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada kestabilan kewangan jika tidak dirancang dengan baik.
Menurut beliau, masyarakat perlu bijak mengurus kewangan termasuk mengambil kira keperluan keluarga serta pendidikan anak-anak.
“Sambutan Gawai biasanya berlangsung pada Mei dan Jun, dan sebaiknya tidak berlarutan hingga ke Julai kerana perbelanjaan boleh menjadi tidak terkawal.
“Kita juga perlu bijak mengurus kewangan keluarga termasuk keperluan anak-anak yang bersekolah. Jika boleh, kurangkan perbelanjaan supaya wang dapat digunakan untuk perkara yang lebih penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mantar Gawai Dayak Sebauh 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Restoran Dinner World di sini pada Jumaat.
Ujarnya, sikap sederhana dan perancangan kewangan yang teliti mampu membantu memastikan kesejahteraan isi rumah terus terpelihara sepanjang musim perayaan.-EDISI UKAS