Jawatankuasa Tamu Medamit Rancakkan Sosioekonomi Masyarakat Batu Danau
LIMBANG: Jawatankuasa Tamu Medamit terus memainkan peranan penting dalam merancakkan pembangunan sosioekonomi masyarakat di sekitar Pekan Medamit dan kawasan Batu Danau melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak penubuhannya.
Sepanjang satu dekad operasinya, jawatankuasa berkenaan bukan sahaja menyokong golongan peniaga kecil dan warga tani, malah turut mengukuhkan fungsi tamu sebagai pusat ekonomi tradisional serta platform interaksi sosial masyarakat setempat.
Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja menyokong golongan peniaga kecil dan warga tani, tetapi turut memastikan kesinambungan ekonomi setempat kekal relevan dengan keperluan semasa.
Penganjuran Agro Tamu Medamit pula menjadi pemangkin kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin, NGO dan masyarakat setempat.
Platform ini berjaya mengukuhkan jaringan perpaduan serta memperkasa kerjasama strategik demi pembangunan komuniti yang lebih mampan dan inklusif.
Dalam pada itu, jawatankuasa tersebut turut menyampaikan cenderamata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang yang mencerminkan penghargaan tinggi masyarakat setempat dalam memperkasa pembangunan komuniti luar bandar.
Sokongan berterusan yang disalurkan beliau khususnya dalam bentuk dana telah membantu menggerakkan pelbagai program dan aktiviti Jawatankuasa Tamu Medamit secara lebih tersusun dan berimpak. -EDISI UKAS