Sarawak Sasar Lebih Ramai Pakar Tempatan Melalui Kecemerlangan Akademik
MIRI: Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir dan profesional tempatan bagi memacu pembangunan negeri, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penguasaan teknologi baharu penting seperti kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar selaras dengan perkembangan ekonomi digital.
“Kita mahu anak-anak Sarawak menjadi pakar, saintis dan profesional dalam pelbagai bidang.
"Kita tidak boleh terus bergantung kepada kepakaran luar, sebaliknya perlu membina kekuatan sendiri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut, di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak komited menyediakan peluang pendidikan termasuk inisiatif pendidikan tinggi percuma melibatkan 64 kursus di empat universiti milik kerajaan negeri
Dalam pada itu, Dato Sri Lee menambah, seramai 49 pelajar berjaya memperoleh keputusan 5A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, meningkat berbanding 27 pelajar pada tahun sebelumnya.
“Walaupun jumlah insentif yang disalurkan kini melebihi RM100,000 bagi sekolah-sekolah dalam kawasan konstituensi Senadin, saya tetap menunaikan janji dengan penuh rasa gembira kerana objektif utama telah tercapai, iaitu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang,” katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan sebanyak RM1.8 juta telah disalurkan bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di kawasan SMK Pujut dan SK Senadin demi memastikan keselamatan pelajar. -EDISI UKAS